Thursday, May 20, 2010

FAKTOR-FAKTOR KRITIKAL KEJAYAAN TERHADAP PELAKSANAAN PROGRAM TRANSFORMASI PENYELIDIKAN DAN PEMBANGUNAN DALAM SISTEM PENGAJIAN POLITEKNIK DI MALAYSIA

ABSTRAK

Transformasi bidang Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) merupakan agenda penting ke arah mengukuhkan institusi pengajian tinggi awam di Malaysia. Kelebihan R&D adalah jelas dan nyata, tetapi amalannya di dalam sistem pengajian politeknik masih di peringkat awalan jika dibandingkan dengan universiti yang telah mengamal serta mendapat manafaatkan darinya sejak dulu lagi. Senario ini menyebabkan politeknik-politeknik di Malaysia menghadapi kesukaran untuk bersaing di peringkat global. Kemampuan yang terhad juga berkaitan dengan isu kesediaan serta kurang pengalaman dalam mengendalikan projek R&D. Kertas ini mengenengahkan faktor-faktor kejayaan kritikal atau Critical Success Factors (CSFs) industri pembinaan di Malaysia. Perbandingan antara program R&D di politeknik dan industri pembinaan dilakukan untuk mengenalpasti persamaan antara kedua-duanya. Seterusnya, CSFs untuk diamalkan dalam program R&D di politeknik diperolehi berasaskan persamaan yang telah dikenalpasti. Secara amnya, CSFs yang diketengahkan dalam imbasan sorotan ini adalah berkaitan dengan pendidikan dan latihan, struktur organisasi dan kepimpinan di politeknik, sumber dan teknologi maklumat, dan perancangan dan kertas cadangan penyelidikan. Di samping itu, beberapa cadangan program untuk dilaksanakan juga turut dibincangkan. Adalah diharapkan cadangan-cadangan ini akan dapat digunapakai sebagai kriteria penanda aras untuk proses dan strategi terhadap program transformasi politeknik ke arah usaha memperoleh amalan terbaik serta meningkatkan kesediaan politeknik melaksanakan projek R&D pada masa akan datang.



PENGENALAN

Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) adalah salah satu tonggak terpenting di dalam mengukuhkan institusi pengajian tinggi awam di Malaysia. Kejayaan R&D adalah kritikal bagi meningkatkan kualiti pengajian tinggi ke arah menghasilkan harta intelek dan inovasi, mencipta ilmu baru dan menghasilkan penemuan baru yang berharga bagi membolehkan Malaysia menjadi hab pengajian tinggi unggul. Bidang ilmu terutama yang berbentuk sains dan teknologi pada hari ini telah banyak dikuasai oleh orang-orang barat. Tradisi berfikir dan mengkaji dalam kalangan mereka sangat berkembang maju. Pemikiran kreatif dan inovatif menjadi asas penting kepada kemajuan dan kemodenan umat manusia. Sehubungan itu, adalah amat penting bagi Malaysia membina semula tradisi berfikir yang kreatif dan inovatif untuk melahirkan jiwa penerokaan dan mengembangkan kreativiti seterusnya menyumbang kepada perkembangan ilmu pengetahuan.

Mendepani globalisasi memerlukan ide-ide ketamadunan berasaskan nilai-nilai agama, falsafah dan tradisi kepercayaan yang bermanafaat supaya kekuatan akhlak dan teknologi dapat dibina melalui penyelidikan. Pendekatan kesalingan atau litaarrafu yang diungkapkan oleh al Quran (Al-Hujurat: 13) memberikan perspektif yang amat menarik tentang muafakat dan perkongsian amalan baik dan berguna. Dalam konteks politeknik yang mempelopori pengajian pelbagai disiplin (kejuruteraan, perdagangan dan hospitaliti), saripati nilai yang baik amat perlu diadunkan supaya pembangunan dan perubahan teknologi dalam bidang-bidang tersebut mendukung ide-idea ketamadunan tinggi ke arah membentuk negara maju menjelang tahun 2020.

Persamaan antara industri pembinaan dan pengajian politeknik adalah pelbagai disiplin atau sektor yang bernaung di bawah kedua-dua organisasi tersebut. Maka dengan itu, kertas ini membincangkan faktor-faktor kejayaan kritikal atau Critical Success Factors (CSFs) di dalam industri pembinaan sebagai perbandingan terhadap ide-ide untuk diadaptasikan ke dalam sistem pengajian politeknik di Malaysia.



FAKTOR-FAKTOR KRITIKAL KEJAYAAN DALAM INDUSTRI PEMBINAAN

Penambahbaikan kualiti dan produktiviti dalam pembinaan bangunan hanya boleh diperolehi melalui proses pembangunan intensif sistem bangunan dan perindustrian. Perindustrian terhadap bangunan lebih efektif apabila sebanyak mungkin komponen-komponen bangunan dihasilkan di kilang menggunakan kelengkapan yang bersesuaian berserta kaedah pengurusan dan teknologi yang cekap. Pengeluaran elemen bangunan secara komprehensif di kilang dapat mengurangkan kuantiti buruh serta kebergantungan terhadap kemahiran sedia ada, keadaan cuaca, dan pelbagai konstrain di tapakbina.

Dari sudut sejarah, revolusi perindustrian telah banyak memberi kesan terhadap sektor bangunan. Kesan utama adalah pada abad ke 19 apabila struktur konkrit bertetulang dan keluli telah diperkenalkan. Seterusnya, konkrit bertetulang telah diterima sebagai salah satu bahan binaan yang utama kerana ianya mempunyai kelebihan yang sukar ditandingi oleh bahan-bahan lain. Proses pengeluarannya pula lebih mudah berbanding dengan yang lain, boleh dibentuk mengikut acuannya dan memiliki tekstur luaran luaran yang menarik (Nor Iwani, 2008).

Antara aplikasi terawal komponen konkrit pra-tuang adalah oleh W.H. Lascelles di England pada tahun 1878. Kepingan nipis konkrit pra-tuang digunakan oleh Lascelles pada dinding dan lantai bangunan kediaman (Warszawski, 1999).

Sistem Binaan Berindustri atau Industrialized Building System (IBS) bermula di Malaysia setelah tertubuhnya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada tahun 1964. Kementerian ini kemudiannya telah member fokus terhadap keperluan menyediakan rumah kos rendah untuk kumpulan berpendapatan rendah. Ke arah itu, program perumahan kos rendah telah dilancarkan dan menjelang tahun 1966, dua projek perintis telah dilancarkan di Kuala Lumpur dan di Pulau Pinang (Zulkefle, 2007).

Semasa Rancangan Malaysia Ke-Lima, Malaysia telah membina sebanyak sejuta unit rumah, dan ianya telah mengejutkan ramai professional dalam industry bangunan dari luar Negara. Berbanding dengan Negara-negara lain, industri pembinaan di Malaysia telah berjaya menyediakan rumah berasaskan keperluan rakyat. Walau bagaimanapun, kita harus menerima hakikat bahawa Malaysia masih berada di tahap bawah dalam teknologi bangunan.

Industri pembinaan membabitkan penyertaan tujuh sektor yang berlainan. Sektor-sektor ini termasuklah Pemaju/Klien, Perunding (arkitek, jurutera, jurukur bahan, jurukur tanah, perancang, pengurusan projek, dan lain-lain), Kontraktor (kontraktor utama, sub-kontraktor, dan kontraktor kerja-kerja khas), Pembekal Bahan dan Kelengkapan Binaan, Pekerja (kurang mahir, separa mahir dan mahir), Kewangan (bank dan syarikat peminjam), dan Pihak yang Memberi Kelulusan (kerajaan tempatan, negeri, dan pusat). Produktiviti dan kecekapan industri ini banyak bergantung kepada bagaimana sektor-sektor tersebut dapat bekerjasama serta memahami keperluan dan masalah antara satu sama lain.

Berasaskan laporan dari CIDB (2005), juga ditekankan sumbangan dari sektor pembinaan bukanlah hanya sekadar dari aspek ekonomi semata-mata; produk pembinaan (samada secara langsung atau tidak langsung) melalui infrastruktur dan bangunan yang besar memberi sumbangan yang besar ke arah kualiti kehidupan dan kesihatan manusia. Aktiviti-aktiviti yang dijanakan dari pembinaan akan menghasilkan produktiviti industri yang lain, dan memberi kesan dalam keseimbangan ekonomi negara.

Cabaran yang seringkali dihadapi adalah dalam aspek produktiviti, kecekapan, dan kualiti kerja. Penggunaan buruh asing kurang mahir berserta kelengkapan dan kaedah pembinaan kurang berteknologi sebenarnya adalah penyumbang utama terhadap rendahnya kecekapan dan produktiviti di tapak pembinaan. Akhirnya, ia membawa kepada amalan yang yang tidak produktif yang secara asasnya menyumbang kepada kelewatan menyiapkan projek.



PENYATAAN MASALAH

Sejajar dengan Pelan Transformasi Politeknik yang dilancarkan pada 25 Februari lalu, program R&D di peringkat politeknik dilihat sebagai pemangkin terhadap Politeknik Premier yang menjadi asas kepada pewujudan Universiti Politeknik menjelang tahun 2015. Tambahan pula, dengan galakan dan peruntukan yang disediakan oleh kerajaan, politeknik dilihat perlu memenuhi kehendak ini yang akhirnya akan membawa kepada transformasi seperti yang dirancangkan

Persamaan yang terdapat antara industri pembinaan dan sistem pengajian di politeknik telah dikenalpasti sebagai suatu organisasi yang mempunyai pelbagai sektor atau disiplin di bawah naungannya. Kebergantungan terhadap tenaga buruh asing yang kurang mahir dalam industri pembinaan telah menyumbang kepada produktiviti kerja yang rendah dan mengakibatkan pembaziran. Hal yang sedemikian juga berlaku dalam organisasi politeknik di mana pembaziran telah dikenalpasti sebagai kesan dari produktiviti kerja yang rendah.

Walaupun telah jelas dan nyata tentang kelebihan R&D dalam membina budaya ilmu dan pemangkin terhadap pembentukan negara maju menjelang tahun 2020, tetapi penerimaan dan pelaksanaannya di peringkat politeknik masih ditahap yang rendah. Hal ini berlaku disebabkan kurangnya kesedaran, jaringan dan kerjasama berkaitan dengan projek R&D. Selain itu, persepsi yang berlainan terhadap R&D juga membawa kepada penerimaan yang rendah dalam kalangan kakitangan akademik di politeknik, sabagaimana rendahnya penerimaan IBS dalam industri pembinaan masa kini.

Tambahan pula, manafaat yang diperolehi oleh kakitangan akademik di politeknik hasil dari projek R&D yang mereka laksanakan juga masih samar-samar serta belum terjawab sebagaimana samarnya penerimaan aktor dalam industri pembinaan tentang keberkesanan kaedah dan kualiti bangunan pasang siap di Malaysia.



FAKTOR PENARIK DAN PENOLAK PELAKSANAAN R&D DI POLITEKNIK

Faktor penarik yang menggalakkan pelaksanaan budaya R&D di politeknik adalah peningkatan kualiti Pengajaran dan Pembelajaran (P&P), pengurangan kecacatan dan pembaziran, penambahbaik pengurusan penyenggaraan dan pentadbiran, penjimatan dalam penggunaan sumber manusia, dan insentif dari kerajaan terhadap produk inovasi. Dalam erti kata lain, faktor-faktor penarik ini berkait rapat dengan isu kemampanan atau sustainability terhadap sistem pengajian politeknik dan Pelan Transformasi Politeknik.

Manakala faktor penolak pula adalah kekurangan kakitangan akademik yang berupaya menjalankan projek R&D di politeknik, dan ditambah pula dengan kekurangan peruntukan yang disediakan untuk menjalankan projek berkenaan.



FAKTOR PEMBOLEH DAN PENGHALANG PELAKSANAAN R&D

Faktor penghalang terhadap pelaksanaan R&D di politeknik adalah berkaitan dengan isu kos, kurang pengetahuan dan keyakinan, kurang memahami kaedah penyelidikan, monopoli, kemudahan frasarana teknologi maklumat, dan kurang integrasi jaringan dan kerjasama dengan institusi lain.

Walau bagaimanapun, beberapa faktor pemboleh telah dikenalpasti untuk mengatasi masalah ini terutama sekali apabila Pelan Transformasi Politeknik telah dilancarkan baru-baru ini. Faktor-faktor pemboleh tersebut adalah insentif dan promosi perjawatan, kursus pembangunan kerjaya dan peningkatan kemahiran, program sangkutan industri, dan Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) untuk mengikuti pengajian peringkat pasca-siswazah (sarjana dan kedoktoran) di dalam dan di luar negara.



FAKTOR KRITIKAL KEJAYAAN R&D DALAM SISTEM POLITEKNIK

Amalan kontrak dalam industri pembinaan memberi kelebihan terhadap keupayaan kontraktor untuk membuat perancangan ke arah pengurusan projek yang lebih cekap dan berkesan. Begitu jugalah halnya dengan sistem perjawatan baru di politeknik yang memberi laluan kepada semua kakitangan akademik untuk membuat perancangan dan halatuju kerjaya mereka di masa hadapan melalui skim naik pangkat tanpa kekosongan jawatan. Mengambilkira kenyataan ini ke dalam perspektif, transformasi dari sistem perjawatan lama ke perjawatan baru memerlukan lebih fokus terhadap beberapa bidang kritikal yang penting untuk mencapai matlamat transformasi dan dalam masa yang sama mendapat faedah dan keuntungan darinya.

Pelbagai definisi istilah CSFs telah dicadangkan, dan kertas ini akan menggunakan definisi yang telah dicadangkan oleh Bullen & Rockhart (1981) yang telah mendefinisikannya sebagai suatu bidang atau faktor terhad di mana hasilannya yang memuaskan akan menjadi penentu terhadap kejayaan pelaksanaan sesuatu individu, jabatan atau organisasi yang bersaing, dan sebagai beberapa bidang atau faktor utama di mana ianya mestilah bertepatan dengan urusan untuk memaju dan mencapai matlamat. Berikut akan dibincangkan empat (4) faktor yang dikenalpasti sebagai CSFs dalam usaha membudayakan R&D sejajar dengan Pelan Transformasi Politeknik.


Pertama: Pendidikan dan Latihan

Menurut faktor sejarah, industri pembinaan mempunyai rekod pelaburan yang buruk dalam pendidikan dan latihan. Sebahagian besar pekerja adalah buruh am dan latihan yang disediakan adalah terhad. Apabila pekerja dalam industri pembinaan masa kini telah diberikan pendidikan dan latihan, maka sewajarnya kakitangan akademik di politeknik yang terdiri dari kumpulan pengurusan dan professional juga perlu dilengkapkan dengan kemahiran membuat penyelidikan melalui suatu program latihan yang komprehensif lagi meluas (Clarke, 2002; Palmer et al, 2003; and Goodier & Gibb, 2004).

Pan et al (2008) mendakwa IBS memerlukan teknik, kaedah dan ketelitian. Begitu jugalah halnya dengan projek R&D yang memerlukan ketelitian, kaedah dan teknik yang betul semasa menjalankan penyelidikan. Telah jelas lagi nyata bahawa kemahiran yang tinggi dalam penyelidikan hanya boleh diperolehi dari pendidikan dan latihan yang berprofil tinggi. Mengambilkira perkara dan kenyataan tersebut, peruntukan terhadap HLP di dalam dan luar negara adalah perlu lagi kritikal terhadap kakitangan akademik dalam sistem pengajian politeknik, dan ianya tidak dapat dielakkan sekiranya ingin melihat kemajuan R&D di dalam organisasi ini.

Menurut Goodier & Gibb (2006), pembangunan program latihan haruslah lebih memberi pemberatan terhadap menerapkan peranan sebagai penyelidik di politeknik secara memberi tanggungjawab mengembangkan integrasi jaringan dan kerjasama dengan institusi lain. Akhirnya, pendidikan dan latihan dilihat akan dapat melengkapkan kakitangan akademik dengan pemahaman yang jelas terhadap isu-isu berkaitan dengan pelaksanaan, pemantauan, dan pengendalian projek R&D di politeknik.


Kedua: Struktur Organisasi dan Kepimpinan di Politeknik

Kepimpinan yang kuat dalam peringkat pengurusan dan institusi adalah penting dalam usaha untuk meyakinkan pembuat keputusan, pelanggan, klien, dan organisasi itu sendiri dalam menuju ke arah teknologi yang inovatif lagi kreatif (Kamarul Anuar et al, 2009). Dari sudut pandangan strategik, kepimpinan berserta dengan keupayaan teknikal yang tinggi akan lebih berkarisma serta berinovatif (Bleyse & Manley, 2004) dan memastikan organisasi tersebut mampu bertahan dalam persaingan di peringkat global. Sifat kepimpinan yang baik adalah penting dalam menangani isu-isu birokrasi dan prosedur semasa menjalankan projek R&D. Kajian terdahulu melaporkan bahawa organisasi yang tegar adalah penghalang kepada budaya inovasi (Nam & Tatum, 1997). Struktur organisasi yang lebih terbuka serta menyokong inovasi akan lebih cenderung kepada kejayaan dalam R&D dan mampu mencapai matlamat Universiti Politeknik menjelang tahun 2015


Ketiga: Sumber dan Teknologi Maklumat

Sumber dan Teknologi Maklumat atau Information Technology (IT) telah dibuktikan sebagai kunci utama dalam penyelidikan dan rekabentuk produk. Perkembangan dan kemajuan teknologi adalah berkait rapat dengan bidang IT. Ianya telah membantu serta meningkatkan keupayaan menjalankan penyelidikan melalui kemudahan perpustakaan atau pusat sumber yang dilengkapi peralatan canggih berasaskan IT. Selain dari berperanan sebagai instrumen menganalisis data, IT juga memainkan peranan yang besar dalam integrasi jaringan dan kerjasama dalam kalangan penyelidik melalui landasan perhubungan atas talian seperti kemudahan e-mail, Facebook dan YahooGroup. Selain itu, peranan IT juga penting dalam konteks persembahan produk penyelidikan menggunakan perisian simulasi berbentuk tiga dimensi seperti animasi dan realiti maya atau virtual reality.

Selain daripada kelebihan-kelebihan yang dinyatakan di atas, usaha membangunkan perputakaan maya secara berpusat dalam sistem politeknik adalah amat baik memandangkan kebanyakan maklumat tentang penyelidikan pada masa kini lebih mudah diperolehi melalui atas talian. Sehubungan itu, adalah wajar untuk mempertingkat serta menambahbaik semua kemudahan berkaitan IT di politeknik supaya aktiviti penyelidikan yang tersebut di atas dapat dijalankan dengan lebih baik lagi berkesan.


Keempat: Perancangan dan Cadangan Penyelidikan

Perancangan yang teliti serta cadangan penyelidikan yang baik adalah faktor kritikal penentu kejayaan sesuatu projek R&D. Teknik mengenalpasti dan menyatakan masalah perlu dipelajari serta difahami dengan mendalam. Begitu juga halnya dengan kertas cadangan penyelidikan yang diperlukan semasa memohon geran perlulah disediakan mengikut format yang tertentu. Dalam konteks ini, integrasi jaringan dan kerjasama memainkan peranan penting dalam usaha memahirkan diri semasa membuat perancangan dan kertas cadangan penyelidikan.



PROGRAM TRANSFORMASI R&D DI POLITEKNIK

Program transformasi R&D yang dicadang untuk dilaksanakan di politeknik ini adalah berasaskan dari CSFs dalam industri pembinaan. Sepertimana industri pembinaan, organisasi politeknik menaungi empat disiplin pengajian yang berbeza iaitu kejuruteraan (awam, elektrikal, mekanikal), teknologi maklumat, perdagangan, dan hospitaliti. Apabila inovasi dan kerjasama telah berjaya menambahbaik kualiti dan produktiviti dalam industri pembinaan, begitu jugalah peranan inovasi dan kerjasama ini dalam menjayakan program transformasi R&D di politeknik.

Menyedari pelaksanaan R&D di politeknik masih memerlukan kemajuan, Jabatan Pengajian Politeknik (JPP) melalui Pusat Penyelidikan Pengajian Politeknik (4P) telah mengambil inisiatif dari masalah yang dikenalpasti sebelumnya, memperkenalkan kursus kaedah penyelidikan dan analisis data pada tahun 2008. Kursus ini telah dijadikan sebahagian daripada program Career Path Competency Matrix (CPCM) yang diuruskan oleh Bahagian Latihan dan Kemajuan Kerjaya (BLK).

Kurangnya penyelidikan yang bersifat inovasi dan dilakukan secara kerjasama di Malaysia seperti yang telah dinyatakan oleh Thanoon et al (2003) memerlukan pendekatan baru untuk dilaksanakan. Seperti yang dinyatakan dalam Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara, peranan dan fungsi R&D dalam Teras 3: Memperteguh penyelidikan dan inovasi, adalah tepat bagi R&D untuk merintis laluan kea rah mencapai matlamat Universiti Politeknik menjelang tahun 2015. Penubuhan 4P di bawah JPP harus dilihat sebagai suatu pembangunan yang amat signifikan dalam struktur R&D di politeknik.

Maka dengan itu, 4P harus mengambil tindakan-tindakan berikut sebagai pra syarat untuk melaksanakan program transformasi R&D dengan jayanya di politeknik.


Pengukuhan Strategi Penyelidikan Jangka Panjang

Selaras dengan CSFs keempat iaitu perancangan dan cadangan penyelidikan yang baik, strategi untuk menjalankan penyelidikan dalam jangkamasa panjang dilihat dapat membantu memperkukuhkan budaya penyelidikan di politeknik. Tempoh menjalankan projek selama tiga (3) tahun dilihat amat bersesuaian dengan para penyelidik di politeknik (rata-ratanya dalam kategori novis) untuk mendalami serta memantapkan diri dalam penyelidikan.


Integrasi Jaringan dan Kerjasama dengan Institusi/Industri

Penglibatan pihak universiti, syarikat, organisasi, dan institut penyelidikan yang membentuk integrasi jaringan dan kerjasama akan dapat membantu menambahbaik kualiti penyelidikan di politeknik. Ini disebabkan pihak-pihak tersebut (terutamanya universiti) telahpun mengamalkan budaya penyelidikan sejak dahulu lagi. Ke arah meningkatkan pembabitan dan kerjasama pihak industri dalam penyelidikan, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPTM) melalui JPP perlu memohon insentif dari kerajaan mengurangkan pemotongan cukai terhadap pihak industri yang terbabit dalam penyelidikan bersama politeknik. Era globalisasi hari ini telah memungkin kaedah komunikasi atas talian seperti yang dicadangkan dalam CSFs ketiga digunakan untuk mengukuh integrasi jaringan dan kerjasama yang telah terjalin.


Peruntukan Geran Penyelidikan dari Kementerian Pengajian Tinggi

Penyertaan dan kemasukan politeknik dalam senarai organisasi yang berhak mendapat peruntukan geran penyelidikan dari KPTM akan membantu menyemarakkan budaya penyelidikan di politeknik. Sememangnya telah dikenalpasti bahawa kos adalah masalah utama dan merupakan salah satu faktor penghalang terhadap pelaksanaan program R&D di politeknik pada masa kini. Sumber kewangan yang mencukupi akan menjamin kelancaran program tranformasi R&D di politeknik


Penyelidikan Mengikut Keperluan dan Bidang Niche Setiap Politeknik

Kaedah penyelidikan perlu diselaras serta disesuaikan mengikut keperluan dan kesesuaian bidang niche yang ada di setiap politeknik. Hal ini tidak secara langsung akan membantu setiap politeknik memantapkan bidang niche masing-masing. Apabila semua politeknik menjalankan penyelidikan berasaskan bidang niche yang telah ditetapkan, matlamat pendidikan teknik dan vokasional pada peringkat pengajian tinggi akan dapat dapat dipenuhi serta dimartabatkan.


One Stop Centre untuk Semua Politeknik di Malaysia – Secara Maya

Inisiatif 4P untuk mewujudkan secara maya sebuah pengkalan data dilihat sebagai titik awal kepada penubuhan One Stop Centre untuk semua politeknik di Malaysia. Di samping berperanan sebagai pengkalan data, pusat ini juga merupakan tempat untuk berbincang, mengenalpasti isu dan permasalahan. Dengan wujudnya pusat ini, CSFs ketiga iaitu sumber dan teknologi maklumat akan dapat dieksploitasi sepenuhnya. Di samping itu, konsep ini juga akan dapat digunapakai dalam pendidikan jarak jauh dalam program pengajian separuh masa di politeknik.


Model Perpindahan Teknologi

Model Perpindahan Teknologi melalui analogi menanda aras dan pengurusan pengetahuan untuk mengadaptasi amalan-amalan terbaik dari luar negara ini akan membantu menambah nilai dan memperbaiki proses transformasi R&D di politeknik. Perpindahan teknologi yang berlaku melalui model ini memerlukan beberapa sesi lawatan dan/atau latihan ke luar negara. Dalam konteks ini, keupayaan penyelidik menguasai Bahasa Inggeris dan beberapa bahasa asing perlu ditingkatkan serta diambil perhatian yang serius. Model ini merupakan suatu langkah awalan ke arah konsep perkongsian atau joint-venture dalam penyelidikan di peringkat antarabangsa.



BENTUK PENYELIDIKAN YANG PERLU DIJALANKAN DI POLITEKNIK

Selain dari mengenalpasti CSFs, kertas ini turut mencadangkan tiga (3) bentuk penyelidikan yang sesuai untuk dijalankan di politeknik setelah merujuk kepada keperluan-keperluan berikut:
 Menghasilkan produk yang kreatif dan inovatif
 Menyelesaikan isu-isu ringan
 Memupuk budaya kerja berpasukan


Penyelidikan Gunaan

Penyelidikan Gunaan atau Applied Research perlu diberi keutamaan dalam usaha memampan pengajian teknik dan vokasional pada peringkat pengajian tinggi di politeknik. Malahan, produk yang kreatif dan inovatif yang dihasilkan melalui penyelidikan kategori ini akan dapat memberi manafaat kepada institusi dan penyelidik itu sendiri.


Kajian Tindakan

Isu-isu ringan atau soft issues yang berkaitan dengan P&P, impak sosial, dan Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) harus dijalankan ke arah memperkukuhkan pengajian politeknik seperti yang telah dinyatakan dalam Pelan Transformasi Politeknik dan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara. Dalam konteks ini, penyelidikan berbentuk Kajian Tindakan atau Action Research amat sesuai digunakan dalam mencari penyelesaian.


Kajian Komprehensif

Ke arah memupuk budaya kerja berpasukan, kajian komprehensif yang melibatkan penyertaan semua disiplin pengajian dilihat dapat memainkan ke arah meningkatkan kerjasama antara jabatan akademik yang terdapat dalam politeknik. Perkongsian ide melalui kajian ini akan mengembangkan daya kreativiti dan inovasi para penyelidik yang berlainan latar belakang akademik.



KESIMPULAN DAN PENUTUP

Kertas ini telah mengenalpasti empat (4) faktor sebagai CSFs terhadap program R&D di politeknik iaitu pendidikan dan latihan, struktur organisasi dan kepimpinan, sumber dan teknologi maklumat, dan perancangan dan kertas cadangan penyelidikan.

Kesimpulannya, pelaksanaan program penyelidikan di politeknik perlu mengambilkira perkara-perkara berikut:
 Strategi jangka panjang, kelengkapan projek dan kemudahan infrastruktur;
 Pendekatan kesalingan atau litaarrafu yang diungkapkan oleh al Quran (Al-Hujurat: 13) dan konsep bekerja sebagai satu pasukan;
 Pendidikan dan latihan berkaitan R&D kepada kakitangan akademik dan kumpulan penyelidik;
 One Stop Centre (secara atas talian) yang berperanan sebagai pengkalan data, tempat perbincangan, dan mengenalpasti isu serta permasalahan;
 Garis panduan yang menerangkan secara jelas tentang nilai-nilai dan etika semasa melaksanakan penyelidikan;
 Membina pemikiran yang kreatif dan inovatif menggunakan kaedah kritik, komen dan cadangan;
 Sentiasa peka terhadap isu semasa dan perkembangan teknologi terkini.












RUJUKAN


Blayse, A.M. & Manley, K. (2004); Key Influence of Construction Innovation; Construction Innovation; Vol. 4, No. 3, pp 1-12.

Bullen, C.V. & Rockhart, J.F., (1981); A Primer on Critical Success Factors (Working Paper No. 69); Massachussetts Institute of Technology; USA.

CIDB Malaysia (2005, October - December); Modular Construction in Construction Industry; IBS Digest; CIDB: Kuala Lumpur.

Clarke, L. (2002); Standardization and Skills; A Translational Study of Skill, Education and Training for Prefabrication in Housing; University of Westminster Business School: London.

Goodier, C. & Gibb, A. (2004); Barriers and Opportunities for Offsite Production; PROSPA; Loughborough University: Loughborough

Goodier, C. & Gibb, A. (2006); Future Opportunities for Off-Site in the UK; Construction Management and Economic, 25:6; pp 585-595.

Kamarul Anuar Mohamad Kamar, Zuhairi Abdul Hamid, & Mustafa Alshawi (2009); The Critical Success Factors for IBS Contractors; Malaysia IBS International Exhibition ’09; CIDB: Kuala Lumpur; pp 42-52.

Nam, C.H. & Tatum, C.B. (1997); Leaders and Champions for Construction Innovation; Construction Management and Economics; Vol. 15, No. 5, pp 259-270.

Nor Iwani Basri (2008); Critical Success Factors for Industrialized Building System (IBS) Adoption in Malaysian Construction Industry; Thesis Sarjana Kujuruteraan Awam (Struktur); UTM: Sekudai.

Palmer, S., Jones, K., Coffey, M. & Blundell, C. (2003); Innovation in Construction: Maintenance and the Egan Agenda; Palmer Partnership: Dartford.

Pan, W., Gibb, A., Dainty, A.R.J. (2008); Leading UK Housebuilders Utilization of Off-Site Construction Method; Building Research & Information, 36:1; pp 56-67.

Thanoon, W.A.M., Peng, L.W., Abdul Kadir, M.R., Jaafar, M.S. & Salit, M.S. (2003); The Experiences of Malaysia and Other Countries in IBS in Malaysia; Proceeding on IBS Seminar; UPM: Serdang

Warszawski, Abraham (1999); Industrialized and Automated Building Systems; London: E & FN Spon.

Zulkefle Ismail (2007); A Preliminary Evaluation of Prefabricated Bathroom for High-rise Housing Scheme in Malaysia; Thesis Sarjana Senibina; IIUM: Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment